Peralihan GDex ke arah IR4.0 tak ketepikan pekerja manual - Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Pelancaran Hab Auto GDex Berhad (GDex) yang berupaya menganjakkan industri perkhidmatan kurier ke arah Revolusi Industri 4.0, tidak bermakna bahawa peranan pekerja manual akan diketepikan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ketika negara menuju ke arah transformasi digital dan maklumat, kemudahan ini akan membantu meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, kualiti perkhidmatan serta membolehkan pembelajaran dan pembangunan kemahiran baharu untuk pekerja.

"Walaupun hab pengisihan automatik akan mengurangkan pergantungan kepada pekerja manual, namun ini tidak bermakna akan terdapat kelemahan dalam pekerjaan pengendali hab, sebaliknya pekerja kurier akan mempelajari kemahiran baharu untuk memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian Hab Auto GDex di ibu pejabat GDex di sini pada Selasa.

Fahmi berkata, GDex kini turut memberi lebih tumpuan dalam penyelesaian keselamatan siber dengan menggaji 230 orang dalam Teknologi dan Maklumat (IT) untuk melindungi data pelanggan mereka.

"Ini adalah bidang yang tidak semestinya dikaitkan dengan logistik, tetapi ia adalah kebimbangan yang semakin meningkat dan saya berharap industri lain akan mengikutinya," katanya.

Fahmi berkata, sumbangan semasa ekonomi digital terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah sekitar 22.6 peratus dan kerajaan merancang untuk melihat sumbangan ekonomi digital meningkat kepada 25 peratus menjelang 2025.

"Bercakap tentang ekonomi digital, ada komponen yang masih ‘manusiawi’ (memerlukan sentuhan manusia) termasuk penghantaran produk,” tambahnya.

Beliau juga berkata bahawa 'Hari Kurier' akan diperkenalkan sebaik sahaja penglibatan dan perbincangan dengan semua pihak berkaitan selesai dilakukan.

"Beberapa pengumuman penting sedang diperhalusi. Keterlibatan tertentu telah diadakan. Namun begitu, satu atau dua lagi penglibatan penting perlu dilakukan agar kami dapat mengaturkan sesuatu...,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!