Leicester akan bangkit
LEICESTER City bertekad untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tergelincir ke saingan Liga Kejuaraan pada musim depan.
Pengerusinya, Aiyawatt Srivaddhanaprabha juga menolak gesaan para penyokong yang mendesak supaya The Foxes dijual selepas kelab itu mengharungi kisah dongeng merangkul gelaran EPL tujuh tahun lalu.
Malah The Foxes juga cemerlang apabila meraih Piala FA pada musim 2021 setelah menewaskan Chelsea 1-0.
Ia adalah kejatuhan luar biasa The Foxes dan Srivaddhanaprabha telah menerima mesej yang menyinggung perasaan selain kecaman secara terang-terangan daripada penyokong.
“Saya telah menerima sejumlah besar mesej daripada peminat - positif dan negatif.
“Ada yang mahu saya menjual kelab, ada yang menggunakan kata-kata menyinggung perasaan dan tidak bertimbang rasa. Ada yang secara terang-terangan menghina.
“Selain mesej menyakitkan, saya juga menerima mesej sokongan, penghargaan dan perpaduan. Ramai orang yang ditemui juga datang bertanya khabar kepada saya dan keluarga. Ia amat bermakna bagi kami,” katanya.
Bapa Srivaddhanaprabha, Vichai dan keluarganya membeli kelab itu pada 2010 dan membawa Leicester ke EPL empat tahun kemudian.
Leicester menghasilkan kisah pasukan bukan pilihan terbesar bola sepak Inggeris dengan memenangi gelaran EPL pada 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!