Pegawai JPN cedera dipukul dua lelaki

Polis menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai memukul mangsa.
Polis menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai memukul mangsa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dipukul dua lelaki dalam kejadian di pejabat mangsa di Jalan Stadium di sini pada Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas mangsa didatangi dua lelaki yang memaklumkan untuk urusan sekolah sebelum bertindak memukul mangsa.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa berusia 50-an berada di dalam bilik di pejabatnya dan semasa perbincangan tiba-tiba dua lelaki tersebut bertindak menumbuk muka mangsa.

Akibat daripada itu, mangsa mengalami luka bahagian muka, mata, hidung, bibir dan bengkak di bahagian mata kiri.

Susulan itu mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Kota Setar, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai memukul mangsa.

Katanya, kejadian dipercayai akibat masalah rumah tangga melibatkan keluarga suspek.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan suspek telah direman selama empat hari bermula Isnin sehingga 2 Jun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!