NRECC semak cadangan kenaikan tarif air - Nik Nazmi

Nik Nazmi (dua dari kiri) bersama Amirudin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. Foto Bernama
Nik Nazmi (dua dari kiri) bersama Amirudin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang melaksana cadangan semakan semula tarif air agar dapat memberi pulangan modal setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan sedar bahawa kemampanan kewangan operator air memainkan peranan penting dalam mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air.

"Kami sedia maklum bahawa terdapat negeri-negeri yang masih menggunakan tarif yang lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan NRECC.

"Pada masa yang sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak akan membebankan golongan yang kurang berkemampuan,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, negeri Selangor dan Johor merupakan dua negeri terbaik dalam pengurusan Air Tidak Terhasil (NRW) iaitu di bawah 30 peratus.

Sementara itu, Amirudin berkata, hasil usaha penggantian paip serta kawalan kebocoran dan kecekapan operasi loji rawatan air telah mengurangkan NRW dari 36 peratus pada 2016 kepada 27.8 peratus ketika ini dan menyasarkan NRW sebanyak 25 peratus menjelang 2025.

"Kami juga dalam usaha penggantian paip sepanjang 150 kilometer (km) setahun yang dimulakan sejak 2016 membabitkan proses keseluruhan 30,000km panjang termasuk 6,000km paip yang kritikal untuk diganti.

"Kami akan melakukan penggantian ini secara terancang dan tersusun kerana ia melibatkan pertimbangan ekonomi dan kos yang tinggi,” katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama dijangka siap pada 2025 merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.

Skim itu juga merangkumi komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air dengan Sungai Klang yang diabstrak sebagai sumber bekalan air mentah baharu, menyumbang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air untuk Air Selangor pada 2030.

Peringkat Kedua Skim Bekalan Air Rasau pula akan mula dibangunkan pada 2027 dalam tempoh tiga tahun dengan kos keseluruhan skim berkenaan sebanyak RM5.54 bilion. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!