KJ sengaja hasut, cuba raih populariti - Razlan
SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyelar kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meramalkan sebahagian penyokong parti itu akan memberi undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya nanti.
Beliau mendakwa perbuatan tersebut merupakan permainan daripada Khairy yang sengaja untuk mengapi-apikan orang ramai selain berniat untuk menghasut demi mencari populariti.
"Angka (jumlah pengundi Melayu undi PN) yang Khairy dapat itu untuk hasut dan letakkan pemikiran negatif kepada negara yang sedang mencipta kestabilan dan fokus kepada pembangunan negara.
"Jadi ini adalah permainan politik oleh Khairy untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang popular. Mana dia dapat angka, saya pun tak tahu dan mana dia dapat ramalan tersebut, kita tak tahu.
"Itu andaian dia sendiri. Betul atau tak betul, kita kena tunggu dulu masa buang undi nanti (keputusan Pilihan Raya Negeri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Khairy Jamaluddin meramalkan sebahagian penyokong parti itu akan memberi undi kepada calon PN sebagai tanda tidak setuju dengan permintaan MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Khairy berkata, Ahli Parlimen Pontian itu sepatutnya menyeru pengundi UMNO menyokong calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan berbanding meminta pengundi memilih DAP.
Mengulas lanjut, Razlan berkata, tidak dinafikan terdapat individu yang menyokong sesuatu parti disebabkan hasutan bangsa dan agama oleh parti tertentu.
Bagaimanapun, Razlan berkata, semua pihak pada hari ini lebih mementingkan untuk memulihkan dan menstabilkan negara kerana banyak isu melibatkan kemajuan ditangguhkan.
"Jadi saya nasihatkan Khairy seeloknya kembali kepada mencari bagaimana nak majukan negara dan tak perlulah bermain persepsi menghasut seperti dia buat hari ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!