Peniaga lemang didenda RM500 cederakan pelanggan
MELAKA - Seorang peniaga lemang yang mencederakan seorang pelanggan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syamudin Salleh, 41, yang membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Shamuddin Jaamat, 62, di gerai Lemang Pak Din, Jalan Bukit Beruang kira-kira jam 8 malam pada 21 April lalu.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana telah menyesal selain mengakui ketika kejadian dia didorong perasaan marah dengan tindakan provokasi mangsa yang menuduhnya menjual lemang mentah.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan mangsa warga emas mengalami kecederaan pada tangannya dan telinga kirinya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM500 atau dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda.
Sinar Harian pada 23 April lalu, melaporkan seorang peniaga lemang bertindak mencederakan pelanggannya dengan menggunakan buluh lemang.
Mangsa yang merupakan pesara tentera berusia 62 tahun datang ke gerai peniaga berusia 41 tahun untuk menukar lemang yang dibelinya pada siang hari kerana mentah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!