Kerusi, meja pun kau sebat
IPOH - Sebuah dewan rukun tetangga di pekan Chemor dipecah masuk individu tidak dikenali, semalam menyebabkan kerugian hampir RM7,000.
Kejadian disedari sekitar jam 9 pagi itu menyebabkan barang-barang dalam dewan antaranya enam kipas siling, dua kipas dinding, 12 unit lampu siling dan suis yang disumbangkan orang ramai, hilang.
Turut dilarikan enam meja, lapan kerusi dan sebuah televisyen 46 inci.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian itu disedari ahli Amanah Ikhtiar yang mahu menggunakan dewan berkenaan untuk tujuan mesyuarat.
Menurutnya, kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada pengerusi rukun tetangga sebelum laporan polis dibuat oleh bendahari persatuan.
"Pemeriksaan dibuat mendapati keadaan dalam dewan berselerak dan terdapat kesan umpil pada geriji besi pintu tepi dewan berkenaan.
"Suspek dipercayai masuk melalui lubang tingkap tandas yang terletak di bahagian belakang dewan," katanya.
Beliau berkata, tiada kesan cap jari ditemui di lokasi kejadian, dewan berkenaan juga tidak dipantau kamera litar tertutup (CCTV).
"Dewan ini diuruskan sendiri oleh Rukun Tetangga Chemor dan dimaklumkan tiada sebarang pertikaian atau masalah dengan mana-mana pihak sebelum ini," katanya.
Mohd Ali berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku sejak dewan siap dibina dan digunakan.
"Kali terakhir dewan digunakan adalah pada 24 April lalu untuk tujuan mesyuarat.
"Setakat ini tiada mana-mana individu yang disyaki kerana tiada saksi yang nampak kejadian berlaku.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!