Raih lebih RM2,000 sebulan hasil jualan mesin layan diri
SEORANG pekerja swasta mampu menjana keuntungan lebih RM2,000 dalam sebulan menerusi perniagaan mesin layan diri.
Amiruddin Ahmad Abdul Jalil, 28, merupakan salah seorang peserta usahawan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melahirkan rasa lega kerana inisiatif tersebut membantu dirinya menambah pendapatan sampingan memandangkan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
"Saya menjual pelbagai makanan antaranya nasi, mi, sandwich dan kuih pada harga antara RM2 hingga RM5 menerusi mesin layan diri yang terletak di KL Sentral.
"Saya mampu meraih jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 malah keuntungan pula diterima berjumlah RM2,500 selama sebulan. Terdapat penambahbaikan perlu dilakukan dengan memperbanyakkan lagi makanan dalam mesin tersebut.
"Jadi kita sasarkan keuntungan sebanyak RM7,000 pada masa akan datang. Inisiatif berkenaan adalah platform terbaik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Mac lepas, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli melancarkan program mesin layan diri IPR dan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun ini.
Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin.
Mengulas lanjut, Amiruddin Ahmad berkata, pelbagai manfaat diterima sebagai peserta di bawah inisiatif berkenaan termasuk tidak dikenakan sewa selama dua tahun dan cas elektrik pula ditanggung pemilik tapak atau rakan strategik.
"Secara anggaran jumlah kos di KL Sentral boleh mencecah RM2,000 termasuk sewa tapak dan utiliti lain namun ia sepenuhnya ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh dua tahun.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang dan manfaat seperti ini bagi membantu golongan B40 dan memerlukan untuk menjana pendapatan tambahan," ujarnya.
Dalam pada itu, Amiruddin Ahmad menambah perkara tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan malah memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan siap masak pada harga berpatutan dan murah.
Selain itu, Amiruddin Ahmad juga berharap lebih ramai golongan muda yang berani untuk mencuba sesuatu baharu bagi mengubah nasib dan menambah pendapatan sampingan.
"Saya bekerja sepenuh masa tetapi berani untuk sertai program ini untuk jana pendapatan sampingan sebab saya tinggal di bandar dan kos sara hidup pula tinggi di sini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!