Penjawat awam Lubnan mulakan mogok dua minggu

Penjawat awam di Lubnan memulakan mogok selama dua minggu pada Selasa menuntut gaji yang lebih baik dan elaun pengangkutan. Foto L'Orient Today/NNA
Penjawat awam di Lubnan memulakan mogok selama dua minggu pada Selasa menuntut gaji yang lebih baik dan elaun pengangkutan. Foto L'Orient Today/NNA
A
A
A

BEIRUT - Penjawat awam di Lubnan memulakan mogok selama dua minggu pada Selasa menuntut gaji yang lebih baik dan elaun pengangkutan, lapor Xinhua memetik laporan akhbar tempatan L'Orient Today.

Kira-kira 90 peratus pekerja menyertai mogok di bandar utara Tripoli selain sebahagian besar pekerja di seluruh negara, kata ahli Liga Pekerja Pentadbiran Awam Ibrahim Nahal.

Tuntutan utama mereka termasuk kenaikan elaun pengangkutan, perlindungan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta gaji yang lebih tinggi.

Penjawat awam yang menerima gaji secara eksklusif dalam pound Lubnan, kini mengalami kemerosotan nilai gaji mereka berikutan krisis ekonomi teruk yang berterusan selama lebih tiga tahun, serentak dengan kejatuhan ketara nilai mata wang tempatan.

Liga itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sementara Najib Mikati beberapa minggu lalu untuk membincangkan isu itu tetapi tiada penyelesaian dicapai.

Lubnan kini dilanda hiperinflasi akibat krisis ekonomi yang berterusan sejak akhir 2019. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!