Penganjur Starvendors Foodstival Melaka mohon maaf
MELAKA - Penganjur acara Starvendors Foodstival Melaka 2023 membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tular video disifatkan tidak sopan dalam acara selama tiga hari itu.
Stavendors menerusi kenyataan rasmi berkata, pihaknya telah dihubungi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan tarian tidak sopan dengan mencolok mata berlaku ketika acara berkenaan berlangsung.
Menurutnya, insiden itu tidak disengajakan dan ia berlaku tanpa pengetahuan pihak Starvendors.
"Segala gerak tari oleh pelaku di atas pentas adalah luar kawalan dan untuk pengetahuan semua, mereka tiada kaitan mahupun mewakili syarikat kami.
"Dengan rasa rendah diri, kami memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri dan seluruh rakyat Malaysia khususnya, atas kekhilafan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.
Tambah kenyatan itu lagi, pihaknya akan mengambil perhatian sewajarnya atas aduan ini dan komited untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan.
"Kami sangat berterima kasih atas teguran yang berikan kepada kami, ia sebuah teguran yang sangat baik untuk kami ambil perhatian," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun pihak berkenaan telah membuat permohonan maaf namun tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak penganjur supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesilapan yang tidak boleh diterima rakyat negeri ini.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Kerterjaminan Makanan akan membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat exco negeri yang akan datang.
"Penganjur perlu dilarang untuk menganjurkan mana-mana acara di dalam negeri Melaka," tegas beliau.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengecam tindakan penganjur Star Vendors di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang membiarkan berlakunya 'aktiviti murahan' di acara tersebut di baru-baru ini.
Aktiviti terbabit merujuk kepada satu video dengan aksi menyanyi sambil menari dangdut oleh tiga wanita dimuat naik di akaun Facebook dipercayai milik salah seorang pengasas produk kecantikan yang turut melakukan aksi sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!