Bantah roboh masjid

Rakaman insiden itu turut menjadi tular di media sosial. - Foto Agensi
Rakaman insiden itu turut menjadi tular di media sosial. - Foto Agensi
A
A
A

KUNMING - China mengerahkan ratusan anggota keselamatan dan membuat sejumlah tangkapan di bandar didiami komuniti Muslim di bandar barat daya negara itu selepas insiden pertempuran ganas tercetus.

Penduduk di bandar Nagu, wilayah Yunnan melancarkan bantahan tegas terhadap rancangan untuk merobohkan empat menara dan bumbung kubah Masjid Najiaying.

Kawasan tersebut dihuni etnik Hui yang sebahagian besarnya adalah orang Islam yang turut menjadi sasaran pihak berkuasa sebelum ini.

Menerusi rakaman video yang menjadi tular di media sosial pada akhir minggu lalu, kumpulan penunjuk perasaan di luar masjid itu turut membaling pelbagai objek ke arah anggota keselamatan yang berkawal di lokasi tersebut.

"Masjid merupakan 'rumah' bagi Muslim seperti kami. Kami tidak akan sesekali benarkan mereka melakukan langkah perobohan itu. Ia hanyalah sebuah struktur yang tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada orang ramai.

"Kenapa mereka tetap mahu robohkan?" kata seorang penduduk tempatan yang enggan identitinya didedahkan.

Sehingga Isnin, anggota keselamatan masih berkawal di bandar itu.

Pada Ahad, pemerintah Tonghai yang mentadbir Nagu memaklumkan siasatan telah dilancarkan ke atas kes tersebut yang didakwa mengganggu pengurusan dan ketenteraman sosial.

Notis tersebut juga mengarahkan individu supaya menghentikan 'aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang' serta berikrar untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku yang enggan menyerah diri.

Sejak 2019, dianggarkan kira-kira sejuta etnik Uighur, Hui dan kumpulan minoriti Muslim lain telah ditahan di wilayah Xinjiang di bawah kempen yang turut dikecam komuniti antarabangsa. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!