Pas ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan

Kenyataan Pas pada Selasa
Kenyataan Pas pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada masyarakat Kadazan-Dusun-Murut-Rungus serta seluruh anak negeri di Sabah dan Labuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas turut mendoakan semoga sambutan Pesta Kaamatan tahun ini berjalan dengan selamat dan sejahtera, selain memaknakan kehidupan bermasyarakat serta bernegara dengan nilai-nilai unggul yang diwakilinya.

“Semoga ia juga akan membuka pintu kepada ‘hasil tuaian’ yang lebih baik dan melimpah-ruah pada tahun-tahun akan datang.

“Walaupun keadaan hari ini telah banyak berubah, iaitu daripada kehidupan agraria di desa-desa terdahulu kepada kehidupan lebih kosmopolitan di bandar-bandar hari ini, namun teras utama Pesta Kaamatan seperti bersyukur atas nikmat kehidupan yang diperoleh, berterima kasih dan memelihara alam sebagai persekitaran yang memberi dan melindungi, kehidupan bermasyarakat yang rukun serta kepentingan persaudaraan dan persahabatan adalah nilai-nilai abadi yang penting dan perlu terus dipelihara dalam kehidupan kita,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, Pesta Kaamatan yang pada asasnya merupakan pesta menuai itu, adalah bahagian integral kepada kehidupan bermasyarakat sekali gus merupakan perayaan bersama yang memberi makna penting kepada kehidupan itu.

“Dalam pada itu, Pesta Kaamatan juga mewakili citra budaya luas masyarakat pribumi Malaysia yang sangat dekat dengan alam dan kitaran kehidupan yang diasaskan kepadanya.

“Selain merupakan tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan dan alam atas hasil tuaian tahunan yang dinikmati, pesta ini juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan dan persahabatan yang merupakan teras penting kepada kehidupan bersama yang rukun dan saling bergantung antara satu sama lain,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!