Young Tigers perlu manfaatkan kelemahan Pakistan
SKUAD hoki remaja negara dituntut memanfaatkan kelemahan dimiliki pasukan pilihan Pakistan apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan separuh akhir Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman awal pagi Khamis.
Malah, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim percaya keputusan positif mampu dijelmakan sekiranya skuad mudanya lebih fokus dan berdisiplin berbanding ketika berdepan Oman.
"Ya, Pakistan sememangnya semua sedia maklum antara pasukan yang kuat dalam kejohanan ini apatah lagi ia pasukan utama mereka.
"Malah mereka beraksi dengan baik sepanjang aksi Kumpulan B dan hanya seri berdepan juara Kumpulan A, India.
"Sejujurnya ini merupakan antara perkara yang harus kita beri tumpuan menjelang aksi separuh akhir. Mereka memiliki kekuatan dari segi penyudah bahagian serangan menerusi counter attack dan pukulan sudut penalti.
"Namun di barisan pertahanan mereka agak sedikit lemah, dan kita akan gunakan peluang untuk melakukan serangan balas," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Young Tigers kendalian Muhamad Amin akan berdepan skuad muda kuasa hoki Asia itu selepas mengesahkan kemaraan selaku juara Kumpulan B setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Oman 1-0 awal pagi Selasa.
Mesin gol Young Tigers, Shahmie Irfan Suhaimi muncul wira pasukan apabila menyempurnakan pukul sudut penalti pada minit ke-48 bagi gol keenam peribadi sepanjang kempen tersebut.
Mengulas kemenangan tipis ke atas Oman, Muhammad Amin berkata:
"Alhamdulillah, kita berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah empat perlawanan peringkat kumpulan.
"Biarpun satu pencapaian agak baik, namun terdapat segelintir pemain yang mengambil sikap sambil lewa dari segi persembahan menentang Oman.
"Sikap sambil lewa ini perlu dibuang jauh apabila berdepan pasukan pilihan Pakistan di peringkat separuh akhir nanti."
Biarpun mengakui Oman yang berstatus tuan rumah tampil berbeza daripada perlawanan sebelumnya, namun Muhamad Amin sedikit kecewa apabila para pemain kurang mengekalkan tahap disiplin tinggi.
"Ya, sememangnya Oman beraksi lebih agresif dan dapat membaca corak permainan kita, namun secara keseluruhan pasukan kita jauh lebih baik dari mereka.
“Saya amat berharap ini merupakan satu perlawanan terburuk terakhir Young Tigers dalam kejohanan ini, dan pemain akan kembali bangkit seperti dalam tiga perlawanan awal apabila berdepan Pakistan di separuh akhir.
“Para pemain perlu kembali konsisten seperti ketika berdepan Uzbekistan, Bangladesh dan Korea Selatan, dengan tidak terbawa-bawa persembahan menentang Oman apabila melayan Pakistan," katanya yang mengesahkan tiada pemain Young Tigers yang cedera atau digantung menjelang aksi separuh akhir itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!