'Tak boleh sekat gaji pemain' - Syed Yazid

Norizam. Gambar kecil: Syed Yazid
Norizam. Gambar kecil: Syed Yazid
A
A
A

TINDAKAN pemilik kelab bola sepak yang menyekat gaji pemain adalah salah dan tiada undang-undang yang membenarkan perkara itu berlaku.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar berkata, peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga tidak mempunyai klausa tersebut dan pemilik kelab perlu membayar gaji pemain mengikut kontrak.

"Saya sudah berhubung dengan bahagian Undang-Undang FAM dan jelas tidak ada peraturan FIFA yang membenarkan pemilik untuk menamatkan kontrak jika tidak berpuas hati dengan prestasi pemain.

"Begitu juga dengan gaji. (Pengurusan) tidak boleh sekat gaji pemain disebabkan oleh prestasi yang tidak memuaskan. Pemilik kena bayar mengikut perjanjian dalam kontrak,” katanya.

Sebelum ini, kecoh mengenai dakwaan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menahan 50 peratus gaji pemain susulan prestasi buruk The Reds Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia ketika ini.

Beliau menjelaskan, pengurusan pasukan juga tidak boleh membuang mana-mana pemain atau menamatkan kontrak pemain sesuka hati atas alasan pemain gagal menunjukkan prestasi yang terbaik.

Katanya, pasukan hanya dibenarkan membuang pemain atas masalah disiplin dan tingkah laku melampau, namun pengurusan tetap perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Kalau berkenaan prestasi pemain, memang tidak boleh sekat gaji pemain ataupun buang. Tetapi jika pemain melanggar disiplin atau bertindak kasar, pengurusan boleh keluarkan surat amaran terlebih dulu untuk meminta pemain berubah jika tidak mahu berdepan penyingkiran," katanya.

Begitupun, sekiranya pihak pengurusan kelab bertegas untuk membuang pemain, pemilik kelab perlu berbincang atau mendapatkan persetujuan secara bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!