Mesyuarat khas Kabinet sempena Hari Pekerja bincang wujudkan pekerjaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet ‘bekerja seperti biasa’ pada hari cuti umum sempena Hari Pekerja hari ini dengan mengadakan mesyuarat khas berkaitan usaha mewujudkan peluang pekerjaan.

Kenderaan rasmi menteri-menteri Kabinet dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra secara berperingkat bermula 2.45 petang.

Mesyuarat 'istimewa' sempena Hari Pekerja itu dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijadualkan bermula 3 petang. Mesyuarat Kabinet kebiasaanya diadakan pada setiap Rabu.

Dr Mahathir di sebelah paginya merasmikan Sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, mesyuarat mengenai mewujudkan pekerjaan itu diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah tanggungjawab Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Antara yang akan dibincangkan ialah mengenai usaha mewujudkan sejuta peluang pekerjaan untuk rakyat khususnya golongan belia di negara ini, katanya.

Maszlee berkata semua kementerian diminta untuk membentangkan insiatif dan pendekatan masing-masing berhubung perkara itu dalam mesyuarat tersebut.

"Jadi kita akan bincang bagaimana untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan juga bagaimana kita hendak selaraskan,” katanya.

"Dari segi Kementerian Pendidikan, kita yang bekal tenaga kerja lepasan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) iaitu kolej komuniti dan politeknik dan bagaimana hendak selaraskan dengan industri," katanya ketika ditanya wartawan mengenai jangkaan mesyuarat itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!