Inter mampu tewaskan City

Lautaro Martinez bakal mengetuai jentera serangan Inter ketika menentang City. - Foto AFP
Lautaro Martinez bakal mengetuai jentera serangan Inter ketika menentang City. - Foto AFP
A
A
A

LEGENDA Barcelona, ​​Sergio Busquets meramalkan bahawa Inter Milan mempunyai keupayaan untuk mengejutkan Manchester City apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 11 Jun ini.

Menurutnya, Inter Milan boleh menimbulkan ancaman terhadap City seperti yang dihadapi Barcelona apabila bergelut menentang gergasi Serie A itu musim ini.

"Semua orang fikir Manchester City akan menang, tetapi berhati-hati dengan Inter Milan. Pertama sekali, apa sahaja boleh berlaku di final dan ia bukan klise.

"Semuanya rumit apabila anda bermain menentang pasukan seperti Inter. Mereka mempunyai identiti yang jelas, lima pemain pertahanan, tiga pemain tengah dan dua penyerang. Inter bertahan dengan baik dan penyerang membantu pasukan.

"Kami telah menghadapi mereka dua kali musim ini dan kami bergelut. Mungkin mereka tidak mencipta banyak peluang, tetapi mereka akan bermain dengan dua penyerang menentang dua pertahanan Man City dan saya fikir mereka boleh menyakiti City dalam situasi ini. Apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Barcelona menghadapi skuad kendalian Simone Inzaghi itu dua kali musim ini yang menyaksikan mereka tewas 0-1 di San Siro dan seri 3-3 di Camp Nou.

Inter berada dalam prestasi yang baik dan akan menuju ke final Liga Juara-Juara selepas merangkul Piala Itali menewaskan Fiorentina 2-1 baru-baru ini.

Pasukan Nerazzurri juga telah menewaskan AC Milan, Benfica, dan Porto dalam perjalanan ke final Liga Juara-Juara dan City dijangka akan menjadi ujian paling sukar mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!