Penganggur didakwa bunuh wanita warga emas

Suhaimi Shamsudin diiring polis di Mahkamah Majistret Port Dickson.
Suhaimi Shamsudin diiring polis di Mahkamah Majistret Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada 9 Mei lalu.

Tertuduh Suhaimi Shamsudin, 45, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Siti Aminah Mohd Amin, 67, pada 9 Mei 2023 antara lebih kurang jam 7.43 pagi sehingga 1.30 petang di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang di Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Vanita menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Selain itu tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh dalam rayuannya meminta jasa baik mahkamah untuk merujuknya ke Hospital Permai (Tampoi) kerana ada kes lampau pada tahun 2002.

"Saya mohon hukuman denda dan ada adik ipar saya yang akan membayar jamin," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh mohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan dilakukan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal menjelaskannya tertuduh berdepan hukuman penjara tujuh bulan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas.

Kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan suspek berusia 45 tahun pada 16 Mei lalu di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!