Atuk pun teruja main beyblade

Mustaffa menunjukkan beyblade yang digunakan dalam perlawanan Beyblade Kuterer Challenge 2.0.
Mustaffa menunjukkan beyblade yang digunakan dalam perlawanan Beyblade Kuterer Challenge 2.0.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Minat mendalam terhadap gasing moden atau beyblade mendorong seorang datuk kepada 23 cucu menunjukkan bakat dalam permainan yang dipopularkan menerusi siri animasi dari Jepun itu.

Mustaffa Ismail, 66, dari Kuala Ibai memenangi empat pusingan menerusi pertandingan Beyblade Kuterer Challenge 1.0 yang diadakan di Warung Satey Cikeng Mamamia, di sini pada 20 April lalu.

Tidak terhenti setakat itu, bekas pengadil dan jurulatih bola sepak itu turut menyertai Beyblade Kuterer Challenge 2.0 bersama dua cucunya Ummar Qayyum Farid, 7 dan Qaleef Farid, 5 yang diadakan di lokasi sama, hari ini.

Mustaffa bersama seorang lagi cucunya, Asmi Abdullah, 7, yang mengikutinya ke Beyblade Kuterer Challenge 2.0.
Mustaffa bersama seorang lagi cucunya, Asmi Abdullah, 7, yang mengikutinya ke Beyblade Kuterer Challenge 2.0.

"Hari ini, dua-dua cucu saya 'balik awal' sebab dah kalah dalam pusingan pertama. Untuk perlawanan kali ini, pusingan pertama saya dah menang dan sekarang sedang tunggu untuk pusingan seterusnya untuk melayakkan ke pusingan akhir," katanya yang mempunyai 11 anak.

Ditanya perasaan ketika bermain permainan itu, katanya, ia memberikan satu kepuasan serta menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

"Seronok main benda ni. Misalnya, dalam pertandingan Beyblade Kuterer Challenge ini, persaingan begitu ramai dan tak mengira usia. Dari situ akan mengeratkan hubungan silaturahim. Tiada wujud tembok halangan antara peserta yang berusia atau yang muda," katanya.

Ditanya bagaimana boleh 'terjebak' dengan permainan ini, katanya, dia tertarik selepas melihat cucunya, Ummar Qayyum dan Qaleef bermain permainan itu sejak awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Mustaffa (kanan) tidak kekok bermain gasing moden atau lebih dikenali sebagai beyblade bersama peserta yang lebih muda.
Mustaffa (kanan) tidak kekok bermain gasing moden atau lebih dikenali sebagai beyblade bersama peserta yang lebih muda.

"Bila cucu ajak main, kita pun mainlah sekali. Tak sangka pula seronok. Lebih seronok bila kawan-kawan cucu datang ke rumah ramai-ramai untuk lawan beyblade.

"Dari situ saya nampak permainan ini banyak manfaat, selain mengelak anak-anak bermain di luar rumah tanpa kawalan, ia dapat mengeratkan silaturahim antara kita dan anak-anak serta rakan-rakannya," katanya.

Beyblade Kuterer Challenge 2.0 yang diadakan di perkarangan Warung Satey Cikeng Mamamia, di sini, hari ini melibatkan seramai 352 penyertaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!