Cadang struktur tangga gaji tenaga pengajar Tabika Kemas
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang untuk melakukan penstrukturan semula tangga gaji berasaskan kelulusan 10,174 tenaga pengajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).
"Kami berikhtiar, berbincang dan memperincikan bersama JPA dan MOF agar bukan hanya skim malah meningkatkan produktiviti serta jumlah pelajar yang ada," katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi libat urus Program Tabika Pra Tahfiz di kementerian dekat sini pada Rabu.
Menurutnya, terdapat ramai tenaga pengajar Tabika Kemas yang mempunyai ijazah dan sarjana tetapi dibayar mengikut skim yang tidak berasaskan kepada kelulusan mereka.
"Oleh kerana skim ini tidak berasaskan kelulusan, maka ia tidak adil," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mensasarkan huffaz cilik dilahirkan menerusi Program Tabika Pra Tahfiz Kemas dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Kemas turut mensasarkan penglibatan lebih 1,500 kanak-kanak bimbingannya mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha dalam persiapan ke Tahun Satu menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini," katanya.
Program bermula Julai ini akan menjadi nilai tambah bagi Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah serta pengajian al-Quran.
"Jumlah ini akan bertambah secara berperingkat kepada 4,000 kelas pada tahun hadapan, 3,000 kelas pada tahun 2025 dan menjelang tahun 2026 semua Tabika Kemas akan melaksanakan modul Pra Tahfiz ini," jelasnya.
Setakat ini, terdapat 10,701 Tabika Kemas di seluruh negara membabitkan 216,322 murid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!