'Projek rumah sakit, kami lagi sakit!'

Pembeli rumah pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh, Kota Bharu menuntut penjelasan daripada pemaju berhubung perkembangan terkini status projek berkenaan sama ada 'sakit' atau masih berjalan.
Pembeli rumah pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh, Kota Bharu menuntut penjelasan daripada pemaju berhubung perkembangan terkini status projek berkenaan sama ada 'sakit' atau masih berjalan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 120 pembeli pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh di sini menuntut penjelasan daripada pemaju berhubung perkembangan terkini status projek berkenaan sama ada 'sakit' atau masih berjalan.

Dakwa mereka, rumah yang sepatutnya disiapkan pada 2020 itu telah terbengkalai sejak enam tahun lalu dan sehingga kini pembeli belum diberikan sebarang jaminan status terbaharu berkait dengan kediaman tersebut.

Pembeli, Dr Maryam Azlan, 43, berkata, mereka telah merujuk perkara tersebut kepada pelbagai pihak termasuk pemaju, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), syarikat guaman dan sebagainya namun tiada jawapan yang pasti diterima.

"Jika betul ini adalah projek 'sakit', sila buktikan, andai sebaliknya kami inginkan kepastian bila ia akan disiapkan.

"Kami sekarang berbelah bagi kerana bayaran bulanan telah dibuat melalui pinjaman dengan perbankan dan LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) antara RM1,500 hingga RM1,800 setiap bulan," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.

Penjawat awam itu memberitahu, jika mahu membatalkan pembelian, mereka perlu membayar sekitar 10 peratus daripada pinjaman iaitu sekitar RM30,000.

Ujarnya, jika bayaran bulanan diteruskan mereka bimbang projek tersebut tidak berjalan terus sedangkan pemotongan wang berjalan seperti biasa.

Siti Alizam Shafie, 35, pula berkata, dia terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang lebih apabila masih lagi perlu menyewa rumah.

"Selagi pangsapuri ini belum siap, ia membebankan 'kantung' kewangan saya kerana terpaksa membayar untuk dua rumah.

"Saya dan pembeli lain sekarang berbelah bagi, hendak teruskan pembelian atau membatalkannya kerana kedua-dua pilihan tersebut akan memberi risiko kepada kami," ujar penjawat awam itu.

Asmat Mohd Zain, 39, berkata, ini merupakan rumah pertamanya dan menjadi impian dia serta keluarga untuk mendiami kediaman tersebut sepertimana yang dirancang.

Tambahnya, dia dan pembeli lain berharap ada pihak yang akan tampil membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurut penjawat awam itu, sudah enam tahun ia dibiarkan tanpa sebarang kata putus dan perkara itu menyebabkan kehidupan mereka sedikit terganggu.

"Duit sudah dibayar bulan-bulan, namun rumah yang diimpikan hanya boleh dipandang sahaja.

"Kami sedih, tertekan, kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap ada jalan penyelesaian terhadap perkara ini," katanya.

Sementara itu usaha untuk mendapatkan penjelasan pihak pemaju gagal selepas beberapa kali dihubungi media.

Pangsapuri 29 tingkat untuk kakitangan awam di Lembah Sireh tersebut mempunyai 2,120 unit terdiri daripada enam blok kediaman, surau, tadika, taska, dan lain-lain di atas tanah seluas 4.01 hektar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!