Aset rizab rasmi negara AS$114.42 bilion pada akhir April 2023
ASET rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$114.42 bilion (AS$1=RM4.60) manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$601.3 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan pada Rabu, BNM berkata, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.
Ia turut memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut bank pusat itu.
"Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$16.15 juta.
"Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara.
"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$22.99 bilion pada akhir April 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.
BNM berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Bank pusat itu berkata, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.23 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Katanya satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$371.0 juta.
"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!