Buruh mengaku tak bersalah rogol remaja

Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Rabu.
Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, pada Rabu, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan kira-kira tiga tahun lalu.

Muhammad Asyraf Majid, 30, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang remaja perempuan pada ketika kejadian berusia 18 tahun tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah pangsa di Kampung Padang, Pokok Mangga di sini, kira-kira jam 10.30 malam, pada 5 September 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan namun sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan kerana tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara seorang isteri dan anak yang masih kecil selain dia mengidap darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Julai depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!