Pas Pulau Pinang perlu jelas pendirian
GEORGETOWN - Pas Pulau Pinang harus menyatakan pendirian mereka sama ada bersetuju atau tidak dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka Pas tidak sepatutnya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ini kerana, menurut Guan Eng, jika gagal menyatakan pendirian mereka, maka ia menunjukkan Pas Pulau Pinang tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan rakyat di negeri ini serta mempertahankan, melindungi serta memelihara Perlembagaan Persekutuan.
"Sebelum ini Muhammad Sanusi secara terbuka menyatakan beliau meragui kedaulatan Pulau Pinang dan hak Pulau Pinang untuk wujud memandangkan negeri ini sepatutnya berada di bawah Kedah.
"Berikutan kenyataan provokasinya, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan usul sebulat suara, disokong oleh satu-satunya Adun Pas Pulau Pinang, mengecam Muhammad Sanusi kerana meragui kedaulatan Pulau Pinang.
"Muhammad Sanusi juga jelas berniat untuk memanfaatkan dakwaan palsu ini demi mendapatkan pengaruh politik tambahan dalam PRN akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis.
Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, rakyat negeri ini harus membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi kerana menimbulkan ketidaktenteraman awam dan cuba menimbulkan permusuhan antara penduduk Kedah dan Pulau Pinang.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh juga telah menafikan Muhammad Sanusi kerana gagal memahami undang-undang sehingga ke tahap tidak menghormati malah memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bukan kali pertama Muhammad Sanusi membuat tuntutan yang keterlaluan dan palsu terhadap Pulau Pinang. Dengan provokasi, mempersoalkan kedaulatan dan hak Pulau Pinang untuk wujud sebagai sebuah negeri, Muhammad Sanusi mampu mengancam keamanan dan keselamatan negara.
"Laporan polis harus dibuat oleh 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk mendesak tindakan terhadap Muhammad Sanusi bagi melindungi Pulau Pinang selain menghalang penceroboh politik daripada menceroboh negeri kita demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan aman dan menikmati kemakmuran," katanya.
Tambah Guan Eng, tindakan Muhammad Sanusi yang sering kali mengeluarkan kenyataan seperti itu dianggap perbuatan tidak bertanggungjawab.
"Mendapatkan pengaruh politik seperti ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melulu apabila dakwaan yang tidak berasas serta tidak wujud itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
"Nampaknya beliau cuba menimbulkan permusuhan awam dalam kalangan rakyat Kedah dan Pulau Pinang. Walaupun semua fakta dan undang-undang telah menggariskan bahawa Muhammad Sanusi adalah salah, beliau masih enggan menarik balik dan bertaubat atas kesalahannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!