PH Negeri Sembilan mula kumpul nama calon PRN

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mula mengumpul senarai calon untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, senarai tersebut akan dihantar untuk proses saringan oleh kepimpinan tertinggi selewat-lewatnya hujung Jun ini.

"Kita sudah mula minta nama siapa hendak jadi calon. Tiada masalah, siapa saja boleh hantar dan selepas itu kita serah kepada bahagian saringan calon di peringkat pusat untuk tentukan. Negeri tidak buat saringan.

"Mungkin akhir bulan Jun ini kita akan menghantar nama. Insya-ALLAH, itu terpulang pada pusat. Kalau dia kata akhir bulan, akhir bulanlah. Kalau nak hantar lebih awal, kita akan hantar," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada PH Negeri Sembilan telah mula membuat proses saringan calon.

Selain itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan itu berkata, tiada ketetapan jumlah nama calon yang perlu dihantar oleh setiap bahagian kepada kepimpinan negeri sebelum ia disenarai pendekkan untuk melalui proses saringan.

Tambahnya, tugas kepimpinan di setiap negeri hanya untuk menghantar nama dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja.

"Kita tidak tetapkan berapa nama calon yang perlu dihantar. Cumanya, ada calon dari Cabang PKR itu sendiri yang menghantar nama dan ada calon yang namanya dihantar Cabang lain.

"Kita tiada masalah. Ada juga terus hantar nama kepada Presiden seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Berkenaan soal kriteria calon yang akan diberi perhatian, Aminuddin berkata, setiap calon akan dilihat dari segi kelebihan dan kekuatannya sekaligus boleh memberi kemenangan jika dipertaruhkan bertanding di kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!