Murabbi sepanjang hayat
MELAKA TENGAH - Pemergian Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz pagi tadi dianggap kehilangan besar kepada negara dan layak digelar 'murabbi sepanjang hayat.'
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, gelaran itu sesuai dengan gerak kerja yang dilakukan Allahyarham yang tidak berhenti menyebarkan ilmu sehinggakan malam tadi masih sempat berada di pentas dakwah.
Menurutnya, keikhlasan dan kegigihan Allahyarham yang menyumbangkan tenaga tanpa mengira penat lelah sewaktu hayatnya harus dicontohi oleh pendakwah muda yang lain.
Katanya, berita pemergian tokoh ulama yang sentiasa istiqamah itu sesuatu yang mengejutkan kerana jasanya yang sentiasa ada untuk pembangunan ummah dan menegakkan syiar Islam.
"Saya mewakili Jabatan Mufti dan rakyat Melaka mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.
"Saya berharap ilmu yang disampaikan akan memberi manfaat dan digunakan umat Islam di negara ini kerana terlalu banyak perkongsian ilmu yang dilakukan hingga saatnya yang terakhir," katanya.
Tambahnya, peribadi dan jasa baik Allahyarham terhadap Melaka juga tidak boleh dilupakan terutama berkaitan dengan hal ehwal agama ketika Allahyarham menjadi Ahli Majlis Agama Islam Melaka bermula pada tahun 2000 hingga 2008.
"Sudah pasti kehilangan Allahyarham juga kesedihan buat rakyat Melaka kerana beliau juga dekat dengan kita dan banyaknya jasa pada negeri ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, kehilangan permata itu sukar dicari ganti kerana beliau seorang ulama tersohor dan berilmu tinggi selain berperanan sebagai murabbi ummah yang bukan sahaja berjasa kepada pendidikan ilmu di Malaysia tetapi juga di luar negara.
Menurutnya, cara penyampaian Allahyarham yang lembut, berhikmah dan penuh analogi serta sarat dengan dalil disenangi oleh ummah dan mudah difahami.
"Terlalu banyak jasanya bukan hanya bekas Imam Besar Masjid Negara malah jawatan-jawatan lain berteraskan agama termasuk bekas Penasihat Agama Istana Negara.
"Sudah pasti pemergian permata yang dikasihi ini sukar dicari ganti kerana berkhidmat mendidik ummah hingga ke akhir hayat beliau dan Allahyarham layak digelar Murabbi Ummah kerana sifatnya yang tidak pernah kenal penat dan lelah memberi tarbiyyah Ummah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Allahyarham Abu Hassan tokoh dakwah berpengaruh: Mufti Wilayah Persekutuan
Datuk Abu Hassan Din meninggal dunia
Andainya ini Ramadan Terakhir, kuliah terakhir ayah: Anak
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh, tengah hari ini.
Namun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda selepas solat Zohor untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini selepas solat Asar.
Allahyarham Abu Hassan meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin dan tujuh anak serta 13 cucu.
Merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis kemudian di Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah serta melanjutkan pelajaran di Mesir.
Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!