Sukan Bangsa Johor peruntuk RM1.5 juta

Mohd Hairi bercakap pada Mesyuarat Induk Penyelaras Southern Volunteers Prihatin @ Johor Future 2023 di Bangunan Dato Jaafar Muhammad hari ini. - Foto Bernama
Mohd Hairi bercakap pada Mesyuarat Induk Penyelaras Southern Volunteers Prihatin @ Johor Future 2023 di Bangunan Dato Jaafar Muhammad hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi penganjuran Sukan Bangsa Johor yang dijadualkan berlangsung di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Johor, Ogos depan.

Menurut Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, penganjuran sukan berkenaan juga menyaksikan empat acara dipertandingkan seperti sepak takraw, futsal, bola keranjang (three on three) dan satu acara sukan pertunjukan iaitu sukan kabaddi.

“Secara keseluruhannya, penganjuran Sukan Bangsa Johor oleh kerajaan negeri ini bertujuan untuk merakyatkan sukan dan mempromosikan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia.

“Johan bagi setiap sukan di peringkat DUN akan bertanding di peringkat negeri bagi mewakili DUN masing-masing.

“Kejohanan di peringkat negeri akan diadakan selama dua hari dan dalam masa yang sama karnival juga akan diadakan bagi memeriahkan lagi kejohanan tersebut,” katanya.

Mohd Hairi berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Penyelarasan Southern Volunteers Prihatin@ Johor Future 2023 di sini hari ini.

Tambah Mohd Hairi, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Program Skuad Muda Southern Volunteers (SV) di peringkat sekolah.

Katanya, program ini akan melibatkan 56 sekolah sebagai perintis di setiap DUN bagi menggalakkan pelajar menjadi pelapis dalam bidang kesukarelaan.

“Saya percaya dengan penglibatan serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Johor akan melancarkan lagi hasrat kerajaan untuk memperluaskan fungsi dan peranan SV hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program SV Prihatin@Johor Future 2023.

Katanya, program berkenaan secara keseluruhannya bertujuan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah di 56 kawasan DUN di sekitar negeri.

“Kerja-kerja baik pulih rumah ini melibatkan sebanyak 280 buah rumah milik golongan asnaf, warga emas, miskin dan ibu tunggal di 56 kawasan DUN tersebut.

“Pemilihan kesemua tersebut adalah di bawah cadangan penyelaras DUN atau pejabat daerah serta SV daerah.

“Antara pengisian program yang melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) belia, SV, komuniti serta pemimpin masyarakat setempat itu adalah dekorasi dan pembersihan kawasan rumah serta baik pulih kerosakan kecil yang ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!