Ukraine cuba gertak Rusia?
MOSCOW - Serangan dron terbesar dilancarkan Ukraine adalah cubaan untuk menakutkan dan mencetuskan provokasi ke atas Rusia.
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Vladimir Putin pada Selasa dan menegaskan sistem pertahanan udara di sekitar Moscow akan diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi ancaman Kiev yang mahu melancarkan operasi serangan balas.
Kremlin mendakwa kira-kira lapan dron menyasarkan kawasan penempatan di ibu kota tersebut yang berpopulasi lebih 21 juta orang.
Putin turut menyifatkan 'pencerobohan' itu sebagai tindak balas pengganas selepas Moscow membedil ibu pejabat risikan tentera Ukraine, beberapa hari lalu.
"Kiev berniat mahu menggertak Rusia, rakyat kami dan menyerang bangunan kediaman. Ia jelas aktiviti pengganas," katanya yang menempelak semula Ukraine yang selama ini menggelar Rusia sedemikian.
Sementara itu, pembantu Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak menafikan Kiev terlibat secara langsung dengan serangan tersebut.
"Sudah tentu kami gembira dan menjangkakan lebih banyak serangan dilancarkan tidak lama lagi tetapi kami sememangnya tidak terbabit dengan kejadian itu," ujarnya.
Difahamkan, serangan dron ke atas Rusia semakin meningkat sejak akhir-akhir ini selepas insiden terbaharu itu menyasarkan kawasan mewah di barat Moscow yang menempatkan golongan elit termasuk lokasi kediaman Putin.
Dalam perkembangan berkaitan, Kremlin telah mengeluarkan kira-kira 1.5 juta pasport di wilayah yang berada di bawah kawalan Rusia iaitu Donetsk, Lugansk, Zaporizhzhia dan Kherson sejak Oktober lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!