PGA pantau sempadan Kelantan-Thailand
KOTA BHARU - Pangkalan haram di perairan Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia-Thailand di Kelantan bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Tumpat, kini di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penguatkuasaan kawalan di sempadan terbabit sebelum ini dilakukan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diambil alih oleh PGA sejak 20 April lalu.
Katanya, kawasan sempadan yang kini berada di bawah tanggungjawab PGA itu bermula daripada Kompleks Imigresen Rantau Panjang sehingga ke Tumpat, manakala selebihnya kawasan sempadan negara di Kelantan bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Perak masih kekal dikawal ATM.
“PGA bertugas menjaga sebahagian daripada kawasan sempadan ini iaitu di perairan Sungai Golok di Rantau Panjang termasuk kawasan Pekan Munduk yang menjadi tumpuan para pengunjung dari negara ini untuk pergi membeli-belah di negara jiran.
“Kawasan perairan di sini juga adalah pangkalan haram yang sering digunakan sebagai “laluan tikus” oleh pengunjung kedua-dua negara dalam menjalankan pelbagai aktiviti lain termasuk penyeludupan pelbagai barangan, malah turut membabitkan dadah dan senjata api,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa terbabit kini bertindak meningkatkan kawalan dan memperketat pemantauan di sempadan bagi mengelak dibolosi penyeludup mahupun mereka yang bertujuan menjalankan kegiatan ekonomi secara salah.
“‘Orang kita’ (masyarakat setempat) segelintirnya menjadikan aktiviti lintas sempadan ini macam budaya yang masih lagi berterusan. Sekarang mungkin berkurangan kerana keadaan ekonomi semasa menyebabkan barang di sana menjadi sedikit mahal.
“Menjelang musim perayaan pula, dijangkakan aktiviti lintas sempadan akan kembali rancak. Sehubungan itu, saya mengingatkan orang ramai supaya menghentikan lintas sempadan secara haram dan kegiatan aktiviti ekonomi yang salah atau mereka boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Tambahnya, tindakan orang ramai termasuk rakyat Malaysia yang menyeberangi Sungai Golok bertujuan membeli belah di Pekan Munduk dengan menaiki bot di pangkalan haram itu juga adalah satu kesalahan di sisi undang-undang negara ini.
"Laluan itu tidak sah dan ditambah pula perlu menaiki bot yang tidak mempunyai lesen. Penumpang yang menaiki bot haram dengan kos tambang serendah RM2 bagi satu hala itu hanya mendedahkan mereka kepada bahaya.
“Penumpang yang menaiki bot untuk menyeberangi sungai itu tidak dibekalkan jaket keselamatan, walaupun jaraknya dekat, namun sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti bot terbalik dan sebagainya, boleh mengancam nyawa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!