Tiada dasar besar untuk pembangunan sukan sejak 2014

Adam Adli ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Adam Adli ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Negara tidak mempunyai dasar yang besar berkenaan pembangunan sukan sejak 2014, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Menurut beliau, ini kerana kali terakhir Jawatankuasa Pembangunan Sukan (JKPS) yang bertanggungjawab terhadap perkara itu mengadakan mesyuarat pada tahun 2014.

“Jawatankuasa ini sangat penting. Jawatankuasa ini hanya dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sahaja. Kali terakhir 2014 (mesyuarat). Sejak 2014, kita tidak ada dasar besar tentang pembangunan sukan.

“Sebab itu kita ada satu ‘soft reset’. Kerajaan sekarang akan pastikan lepas ini akan ada dasar yang meliputi kementerian lain. Sebab sukan melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu.

Adam Adli menjadi tetamu kedua selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam program yang dihoskan Syuhaida Ariffin.

Tambah Adam, mesyuarat yang baharu sahaja diadakan pada Isnin tersebut telah menubuhkan jawatankuasa peringgit tertinggi (HLC) untuk memberi panduan dan arah kepada dasar pembangunan sukan negara.

Beliau berkata, setakat ini terdapat satu keputusan yang telah diputuskan iaitu mewajibkan penjawat awam untuk bersukan setiap minggu sebagai langkah untuk memastikan taraf kesihatan penjawat awam di tahap optimum.

Jelas beliau, ini kerana Malaysia akan mencapai status negara menua pada tahun 2030 apabila 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas.

“Negara menua akan telan kos yang sangat tinggi. Sebab itu kita perlu mula sekarang gaya hidup sihat untuk lawan obesiti dan penyakit lain. Bukan setakat melawan penyakit, tetapi menggalakkan rakyat kita yang berumur 60,70 tahun ini sihat bertenaga.

“Diharapkan sekarang ini kita sudah ada jawatankuasa yang dihidupkan semula, cadangan ini saya kira pasti akan dipertimbangkan,” ujarnya.

........................................................

KBS peruntuk RM10 juta perluas program Rakan Muda

KUALA SELANGOR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkasa program Rakan Muda menerusi pelbagai aktiviti dijalankan mengikut minat golongan itu.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, Rakan Muda boleh menjadi platform kepada mereka untuk meneroka minat masing-masing.

"Misalnya golongan muda mempunyai ruang untuk mengikuti program berdasarkan minat seperti e-Sport, filem, buku, sastera, budaya, muzik, sukan luar, olahraga dan permotoran," katanya ketika ditemui pada Dialog Siswa Sinar Harian di Dewan Senat Universiti Selangor (Unisel) pada Rabu.

Adam Adli berkata, program Rakan Muda itu diharap dapat memberi nilai tambah baharu dan menjadi kemegahan kementeriannya bagi mengembalikan semangat asal Rakan Muda.

"Sebenarnya Rakan Muda sentiasa wujud, cuma program ini perlu ditambah baik dan diperhebat kerana ia tidak diberi tumpuan sebelum ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya akan melancarkan semula Rakan Muda pada Jun ini, bagaimanapun tarikh sebenar belum diputuskan.

"Kita akan mengumumkan lokasi dan pelancarannya dalam waktu terdekat," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!