Tze Yong, Jun Hao langkah kanan di Bangkok
PEMAIN perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao memulakan kempen dengan langkah kanan dalam Terbuka Thailand 2023 di Stadium Tertutup Huamak, Bangkok pada Rabu.
Tze Yong, pemain nombor 24 dunia itu, hanya mengambil masa 33 minit untuk menewaskan pemain dari India Pyinanshu Rajwat, 21-19, 21-10.
“Terdapat angin dalam dewan yang kuat, namun saya dapat mengatasinya dan menang set pertama. Selepas itu saya bermain dengan lebih yakin dalam set kedua.
“Saya akan berikan yang terbaik untuk perlawanan esok. Saya akan berbincang dengan jurulatih selepas ini,” katanya yang akan bertemu pemain nombor lima dunia Chou Tien Chen dari Taiwan esok.
Sementara itu Jun Hao pula berjaya ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil tuan rumah Sitthikom Thammasin, 16-21, 21-16, 21-12.
"Pada set pertama, saya bermain berhadapan angin, yang menjadikan sukar untuk saya memukul bola dam Sitthikom menggunakan kelebihan itu dan melakukan serangan.
“Selepas tewas set pertama, saya mengubah cara permainan dan bermain dengan lebih agresif pada set kedua dan set penentuan. Ini membolehkan saya mengawal permainan dan menang,” katanya.
Jun Hao akan berhadapan Christo Popov dari Perancis pada pusingan kedua.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain negara Cheam June Wei, apabila tewas kepada juara All England Li Shi Feng dari China 18-21, 21-18, 14-21.
Pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, pula berjaya mengalahkan lawan mereka yang juga pasangan nombor lima dunia Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 21-15, 19-21, 21-19 dalam masa 62 minit.
Kejayaan itu kemudiannya diikuti pasangan Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan pasangan profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie.
Peng Soon-Yee See mengatasi Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura 15-21, 21-11, 22-20, manakala Soon Huat-Shevon menewaskan pasangan Hong Kong, Reginald Lee Chun Hei-Ng Tsz Yao 19-21, 21-15, 21-15 dalam masa 57 minit.
“Dalam set pertama, saya lakukan banyak kesilapan. Nasib baik Sooh Huat dapat bantu saya dan kami berkomunikasi dengan baik bagi memenangi perlawanan pusingan pertama kami,” kata Shevon.
Pusingan kedua esok menyaksikan Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan pasangan Jepun Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo; Peng Soon-Yee See pula bertemu pasangan pilihan kelima dari Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun; dan Soon Huat-Shevon akan bertemu pasangan Hong Kong Jordan Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Satu lagi pasangan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula gagal meneruskan kemaraan, selepas tewas 21-15, 16-21, 16-21 kepada pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Lee Chia-Hsin.
Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei juga terkandas selepas tewas 11-21, 19-21 kepada Hsu Wen-chi dari Taiwan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!