Segerakan RUU selamatkan media tempatan
KUMPULAN media Indonesia sedang mendesak supaya platform enjin carian gergasi seperti Google dan Meta (syarikat induk Facebook) diwajibkan membayar kandungan berita kepada syarikat media mereka bagi menyokong industri domestik.
Gerakan itu dibuat beberapa bulan selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berucap sempena Hari Akhbar Nasional negara berkenaan pada 9 Februari 2021 bahawa beliau akan mengarahkan menterinya untuk membuat tindakan ‘berkenaan draf peraturan yang melindungi hak penerbit’.
Ini berikutan aduan penerbit yang setiap tahun kehilangan hasil pengiklanan kerana dibolot secara tidak adil oleh platform enjin carian gergasi antarabangsa.
Indonesia ketika ini sedang merangka undang-undang yang memerlukan platform media sosial itu membuat perjanjian perniagaan dengan organisasi berita.
Peraturan baharu yang sedang diusahakan itu berdasarkan Kod Perundingan Media Berita Australia - undang-undang pertama seumpamanya di dunia - diluluskan pada Februari 2021 yang mewajibkan platform enjin carian untuk membuat pembayaran dengan penerbit.
Di Malaysia, pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh, Perak pada 28 Mei lalu, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital juga sedang meneliti permintaan industri media tempatan supaya membantu mereka mendapatkan semula hasil perbelanjaan pengiklanan (Adex) yang ketika ini dibolot secara tidak adil oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa.
Untuk itu, kerajaan tidak boleh lagi melengahkan masa melakukan kajian penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) dan mengeluarkan mekanisme terbaik bagi menuntut platform enjin carian gergasi itu membayar kandungan berita, sama seperti yang dilakukan Australia, Indonesia dan juga Taiwan.
Kerajaan juga perlu jelas dan konsisten ke arah pelaksanaannya bagi memastikan RUU itu tidak dipertikaikan ketika industri media Malaysia malah di seluruh dunia berdepan kesukaran untuk kekal bertahan.
Usaha itu dapat memperlihatkan kerajaan serius bukan sahaja dalam memperkasakan media negara, bahkan menyelamatkan penerbit daripada ditekan syarikat gergasi teknologi antarabangsa itu untuk sekian lamanya.
Biarpun tugas itu agak sukar kerana kuasa monopoli syarikat gergasi itu, tetapi kerajaan boleh menjadikan Australia sebagai model dalam melakukan langkah pertama menjadi penyelamat media negara untuk terus bernafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!