Rakyat bimbang kenaikan kos sara hidup, ringgit menyusut
MASALAH bebanan kos sara hidup, inflasi dan ringgit yang semakin lemah antara kebimbangan utama rakyat terutama golongan memerlukan dan berpendapatan rendah (B40).
Ini kerana mereka perlu bergelut untuk membayar pinjaman selain mengeluarkan lebih banyak wang bagi pembelian barangan akibat kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.
Ringgit yang semakin lemah sudah tentu memberi impak buruk kepada rakyat di negara ini susulan barangan import menjadi lebih mahal.
Malaysia pula mengimport banyak produk dari luar untuk memenuhi keperluan dalam negara terutama makanan.
Lebih memburukkan lagi, kebergantungan terhadap barangan import makanan antaranya gandum, bawang dan bijirin membawa kepada keadaan di mana pengguna terpaksa membayar harga lebih mahal bagi mendapatkan barangan diimport tersebut.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan peranan dan penumpuan Menteri Kewangan dalam menangani isu penyusutan ringgit pada ketika ini amat penting khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengawal dasar monetari.
Menurut Mohd Syahir, setakat ini masih belum kelihatan strategi daripada kerajaan yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan tekanan terhadap mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) diharap akan berkurangan apabila isu siling hutang AS selesai dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Ahmad berkata, kerajaan sedang menunggu perkembangan terkini berhubung isu siling hutang AS dijangka diselesaikan dalam dalam tempoh lima hingga enam hari lagi sebelum mengambil sebarang tindakan.
Bagi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula memaklumkan ketidaktentuan ekonomi dan kewangan AS sejak enam bulan lalu menjadi faktor dominan membawa kepada kejatuhan prestasi nilai ringgit.
Ujar Rafizi, sehingga kini tiada persetujuan antara presiden dan kongres berhubung had siling hutang dan belanjawan AS dicapai.
Tambahnya, apabila ia tidak dipersetujui, terdapat risiko yang mana kerajaan AS tidak boleh membayar hutang mereka dan ia sekali gus akan menyumbang ketidaktentuan kepada nilai ringgit Malaysia.
Sudah tentu penyusutan nilai ringgit perlu ditangani bagi mengelakkan permasalahan yang berlanjutan sehingga membawa kepada kenaikan harga barangan sekali gus membuatkan rakyat semakin terbeban dan terkesan.
Perkara sedemikian sudah tentu menimbulkan kegusaran kepada rakyat apabila perlu berhadapan dengan kos bahan dan harga barangan yang meningkat selain sekali lagi berhadapan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Rakyat bukan sahaja bergelut membayar kenaikan sewa rumah dan kenderaan serta hutang-hutang lain malah menyukarkan mereka untuk menabung serta membuat simpanan.
Lebih parah lagi, apabila ada yang terpaksa menggunakan simpanan sedia ada untuk menampung keperluan bayaran pinjaman susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan harga barangan asas lain.
Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan bagi memastikan kadar inflasi dapat dikawal malah mengawal kenaikan harga barangan selain menawarkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat yang terkesan.
Langkah itu dapat memastikan mereka yang terkesan mendapat manfaat secara menyeluruh malah turut membantu menangani beban kos sara hidup rakyat begitu dirasai ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!