Beri alasan ubah suai ekzos 'bising' ikut spesifikasi
AMPANG - Polis menyita lima motosikal kerana melakukan ubah suai ekzos dalam Op Khas Motosikal di Bukit Ampang Saujana di sini pada Rabu.
Operasi berkenaan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan Dan Operasi (Team 42) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya bermula jam 12 tengah malam hingga 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya mengesan lima penunggang motosikal berusia 16 hingga 18 tahun dari Kajang dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
"Kita menyita sebanyak lima buah motosikal telah disita dibawah Seksyen 64 (1) dan 6 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kesemua motosikal itu dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk proses selanjutnya.
"Pemilik akan dipanggil untuk tindakan menukar serta-merta struktur kenderaan yang telah diubah suai," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohamad Farouk berkata, alasan mereka menggunakan ekzos tersebut kerana mengikut spesifikasi enjin yang telah diubah suai untuk kelajuan yang maksimum.
"Perbuatan yang tidak berfaedah ini bukan sahaja menggangu ketenteraman awam dan penduduk setempat malah turut mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau berkata, tujuan kesemua penunggang motosikal itu datang ke kawasan tersebut adalah ingin melihat pemandangan Kuala Lumpur dan menunjukkan kehebatan serta kekuatan bunyi ekzos yang telah diubah suai.
"Kesalahan lain yang dikesan adalah tiada lesen menunggang motosikal, tiada cermin sisi dan nombor plat 'fancy'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!