Banyak pilihan buku kanak-kanak di PBKAL
KUALA LUMPUR - Ibu bapa akui Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menawarkan lebih banyak pilihan buku untuk kanak-kanak.
Suri rumah, Ajma Mohd Yassin, 35, berkata, selain mempunyai banyak pilihan, ia adalah pembelian berbaloi kerana terdapat buku tertentu dijual dengan harga promosi.
"Saya memang dah rancang untuk beli dalam 10 atau lebih buku kanak-kanak sebab banyak sangat pilihan.
"Sebenarnya lebih berpatutan kalau kita beli di pameran buku seperti (PBAKL) ini. Saya memang tak kisah sebenarnya tetapi saya rasa kalau beli di sini kita dapat beli dengan harga berpatutan dan dapat bermacam-macam pilihan.
"Ini kali pertama saya bersama suami datang dengan anak-anak, seorang berumur empat tahun dan seorang lagi baru nak masuk dua tahun, sebab mereka dah boleh berjalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di WTC sempena PBAKL-40.
Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, Johor, Mohd Zakaria Mohd Yusaff, 40, berkata, dia dan keluarga sentiasa menjadikan program PBAKL itu sebagai acara tahunan yang mesti dikunjungi.
Ujar Mohd Zakaria yang berasal daripada Batu Pahat, Johor itu, dia tidak kisah untuk membawa keluarganya datang ke WTCKL meskipun jarak perjalanannya dari rumah lebih kurang 250 kilometer (km).
Menurutnya, dia tidak menghalang anak-anaknya membeli buku yang mereka minati kerana sering menggalakkan budaya membaca dalam diri mereka.
"Mereka suka mana-mana buku pun, saya galakkan walaupun komik. Buku-buku belajar pun sama, kalau dia berminat dan buku itu okay untuk bidang pembelajaran dia, saya belikan saja.
"Kalau dulu, masa mereka kecik-kecik ini, memang saya selalu lebihkan aktiviti membeli buku-buku, bila dah besar mereka tahu apa yang mereka nak pilih," ujarnya.
Sementara itu, ejen takaful, Hatifi Azim Hamzah, 37, berkata, dia dan isterinya tidak hadir ke PBAKL sejak empat tahun lepas namun kali ini membuat keputusan untuk datang semula ke acara berkenaan.
"Dahulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita pernah datang ke pesta buku ini, tetapi lepas PKP ini, kami datang semula.
"Sebab susah nak beli buku kanak-kanak di kedai-kedai biasa. Itu (tujuan) yang kami datang ke pameran besar macam ini.
"Kalau beli di kedai buku biasa, pertama, harga dia mahal, kedua, dia tidak banyak pilihan," jelasnya yang sanggup membeli lebih 10 buku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!