Ahli Parlimen tidak setuju kerajaan usir Rainsy

Hassan
Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengusir bekas ketua pembangkang Kemboja, Sam Rainsy yang mengunjungi negara baru-baru ini.

Ini kerana, beliau menyifatkan Sam Rainsy sebagai pemimpin yang berjuang untuk perubahan Kemboja secara demokrasi dan tidak sepatutnya diusir sedemikian rupa.

Sebaiknya, beliau menyokong jika bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush atau bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang memerangi dan menghancurkan Iraq dihalau dari Malaysia.

“Hari ini aku berasa sedih apabila membaca berita bahawa Perdana Menteri negaraku yang katanya menjunjung hak asasi dan demokrasi menghalau Rainsy, tokoh pembangkang Kemboja yang singgah ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hassan berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Rainsy diusir dari negara ini selepas beliau dan rombongannya dihalang daripada mengadakan mesyuarat di ibu negara.

Menurut laporan akhbar Kemboja Khmer Times, Rainsy datang ke negara ini menggunakan pesawat peribadi dan pasport Perancis.

Langkah itu dipercayai bagi membolehkannya masuk tanpa penelitian pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas lanjut Hassan berkata, pengusiran bekas ketua pembangkang itu turut mengingatkan beliau mengenai kejadian-kejadian yang pernah berlaku terhadap rakan-rakannya dan pemimpin pembangkang suatu ketika dulu termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sahabat-sahabatnya dan pemimpin pelajar Universiti Malaya pernah lari keluar negeri pada 1975 untuk menyelamatkan diri daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Mereka terpaksa mencari perlindungan politik atau suaka politik di Eropah, di negara ‘kafir’ yang kenal erti kemanusiaan dan belas ihsan yang menjadi antara asas makna madani," katanya.

Beliau memberitahu, Anwar sendiri pernah keluar masuk penjara kerana memperjuangkan keadilan dan reformasi untuk Malaysia selain diberi sokongan oleh masyarakat antarabangsa terhadap gerakan demokrasi di negara ini dalam usaha menentang kerajaan di bawah Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai 'diktator'.

"Malaysia perlu ada suatu dasar luar negara yang progresif, dinamik dan aktif sesuai dengan amalan diplomasi antarabangsa yang berintegriti dan berwibawa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!