Ajoi Zainal akui ada masalah kesihatan mental
SHAH ALAM - Seperti hilang dari radar.
Jika dahulu alumni Big Stage musim keempat, Ajoi Zainal gemar membuat cover lagu di laman sosial medianya namun selepas tamatnya program hiburan itu dia kelihatan mendiamkan diri.
Pernah muncul beberapa kali menyatakan keadaannya tidak begitu baik namun semuanya masih menjadi teka-teki kerana Ajoi tidak tampil menceritakan apa yang berlaku pada dirinya.
Selepas hampir setahun kunci mulut, akhirnya Ajoi tampil menjelaskan perkara sebenar.
Kehadirannya di pentas Big Stage 2023 baru-baru ini memberikan peluang kepada media untuk berjumpa dan bertanyakan sendiri apa yang terjadi kepadanya.
Menurut Ajoi atau Qaidzul Zainal Abidin,25, kehilangannya sebelum ini kerana beliau mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang mendapatkan rawatan daripada pakar kesihatan.
“Sebenarnya selepas kejadian atas pentas Big Stage tempoh hari yang saya pengsan tu baru saya tahu yang saya ada anxiety, lebih kurang setahun saya hilang tu kesihatan saya memang tidak stabil, sampai tahap yang saya bercakap sendiri.
“Bila pergi mendapatkan rawatan kesihatan baru saya tahu yang saya bukan sahaja ada anxiety malah saya ada ADHD,” katanya.
Ajoi juga yang merupakan bekas peserta All Together Now Malaysia musim pertama menyatakan bahawa dia masih lagi menerima rawatan daripada pakar namun tidak sekerap dahulu.
“Saya masih dalam rawatan tapi tak sekerap dulu, dulu seminggu dua tiga kali juga saya harus berjumpa dengan pakar”
“Sekarang dah nampak saya boleh bercakap ini, maksudnya saya dah okay dulu saya jumpa orang dekat luar saya boleh pengsan dalam kereta,” ujar Ajoi.
Sebelum ini, Ajoi pernah menjelaskan dia mempunyai masalah kesihatan namun tidak dinyatakan secara terbuka kepada umum.
Ajoi juga pernah pengsan semasa konsert Big Stage 2022 pada minggu keempat dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya gara-gara serangan panik selepas selesai membuat persembahan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!