Warga Singapura tidak mengaku seleweng diesel bersubsidi
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah memiliki minyak diesel bersubsidi melebihi had yang ditetapkan kerajaan.
Tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Fatimah Zahari.
Berdasarkan pertuduhan, Yong Pang didapati mengisi 500 liter minyak diesel di dalam bas jenis Scania dengan nombor pendaftaran PA7792G.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tapa lesen dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Yong Pang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, tertuduh boleh didenda RM3 Juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Sabiq Mohd Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff kemudiannya menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Peguambela, Dahlia Tan kemudiannya bersetuju dengan tawaran jaminan berkenaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Fatimah Zahari kemudiannya menenetapkan tarikh 6 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes serta pengesahan laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!