Geng Mizan aktif pecah rumah tumpas

Wan Hassan (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan ketika menumpaskan Geng Mizan pada 20 Mei lalu.
Wan Hassan (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan ketika menumpaskan Geng Mizan pada 20 Mei lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah Geng Mizan yang bergiat aktif di Utara Semenanjung sekali gus menyelesaikan 15 kes pecah rumah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ia susulan laporan kejadian pecah masuk sebuah premis perniagaan di Bedong, Sungai Petani yang melibatkan kerugian RM25,000, pada 20 Mei lalu.

Katanya, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun dan merampas pelbagai barangan hasil jenayah tersebut.

"Kita turut merampas dua paket plastik berisi dadah jenis Methamphetamine dan sebuah kereta jenis Proton Perdana," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah di sini pada Khamis.

Menurutnya, hasil operasi berterusan, polis kemudian berjaya menangkap tiga lagi lelaki warga tempatan berusia 43 hingga 52 tahun dipercayai anggota kumpulan jenayah sama.

"Kita juga berjaya membuat rampasan sebuah peti besi disyaki hasil jenayah pecah Istana Hinggap Taman Tunku Sarina di Jitra," katanya.

Wan Hassan menunjukkan gambar dua suspek yang masih diburu untuk membantu siasatan.
Wan Hassan menunjukkan gambar dua suspek yang masih diburu untuk membantu siasatan.

Wan Hassan berkata, penangkapan kesemua suspek terbabit berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah iaitu 13 kes di sekitar Kedah, masing-masing satu di Pulau Pinang dan Perak.

"Bagaimanapun, polis masih lagi mengesan tiga individu yang masih bebas untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu sangat terancang dengan mengenal pasti rumah tidak berpenghuni dan melakukan aktiviti jenayah pada waktu malam.

"Mereka juga dipercayai menjual semula barang-barang yang dicuri, bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan bukti-bukti selanjutnya," katanya.

Ujar Wan Hassan lagi, kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah serta masih di bawah tahanan reman Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) (Akta 234) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!