'Kami mahu kalahkan TRW'
KELANTAN United FC memasang impian besar untuk mengalahkan seteru setempat, The Red Warriors (TRW) pada pertembungan Kelantan Derby di Kota Bharu, Jumaat ini.
Sasaran itu bagi memastikan skuad Sang Kijang Hijau mengutip tiga mata penuh dan menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2023 bukan di kedudukan tercorot.
Penolong ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor bagaimanapun mengakui TRW sukar ditewaskan mengikut rekod pasukan ketika berdepan pasukan itu dua musim lalu.
"Tetapi kali ini, berbeza. Mereka ada banyak masalah dan inilah peluang kami," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Nazrulerwan pada masa sama tetap menghormati TRW yang dibimbing Frank Bernhardt tetapi beranggapan sangat rugi jika gagal mendapatkan kemenangan.
Menurutnya, satu kerugian buat Kelantan United FC jika melepaskan peluang mengutip kemenangan pertama ketika pelawat berdepan pelbagai masalah dalaman ketika ini.
Nazrulerwan yakin barisan pemain Kelantan United FC ketika ini sangat bersemangat serta mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu.
"Pemain telah melalui proses pemulihan cemerlang selepas menempuh kekecewaan di Negeri Sembilan dan bersungguh-sungguh pada sesi latihan demi mencapai kejayaan sulung dalam saingan liga," katanya.
Justeru, pasukan itu berjanji memberikan aksi terbaik dan mencatat kejayaan dalam usaha pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super selepas 13 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!