Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65 kepada seluruh warga dan veteran TUDM serta semua yang pernah berkhidmat bersama TUDM.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan sanjungan terhadap jasa, khidmat dan bakti TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara.

"Semoga TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara serta menjadi sebuah angkatan udara disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka dalam satu hantaran melalui Facebook Istana Negara.

Pasukan udara dalam Angkatan Tentera Malaysia ini ditubuhkan pada 2 Jun 1958 dan dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) ketika itu.

Pada tahun ini, ulang tahunnya disambut dengan tema 'Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara'. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!