Syarat wajib sedia unit kediaman mampu milik diteliti semula

Anwar menyampaikan ucapan semasa majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur (PPAM Madani Dalur) Presint 18, Putrajaya, pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan semasa majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur (PPAM Madani Dalur) Presint 18, Putrajaya, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarat untuk mewajibkan pemaju menyediakan unit kediaman mampu milik di setiap pembangunan projek besar akan diteliti semula.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berikutan dasar tersebut tidak berjalan seperti diharapkan.

"Ia tidak berjalan dari segi kelajuan dan skala yang diminta, sebab itu saya minta Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming melihat semula dan mengenakan syarat baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Presint 18, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

"Kenapa mesti hanya kerajaan menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat sedangkan kita ada pemaju yang membangunkan projek besar," katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menandatangani plak sebagai simbolik penyerahan kunci PPAM Madani Dalur.

PPAM Madani Dalur dibangunkan oleh TRC Land Sdn Bhd mempunyai 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 1,000 dan 1,200 kaki persegi yang dijual pada harga tidak melebihi RM260,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!