Ibu tunggal kudung kedua kaki jaga tiga anak sakit kronik

Zarina yang kehilangan kedua-dua belah kaki selepas menghidap penyakit kencing manis.
Zarina yang kehilangan kedua-dua belah kaki selepas menghidap penyakit kencing manis.
A
A
A

KUANTAN - Ujian berganda buat seorang ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) di sini, bukan sahaja terpaksa menguruskan dirinya tetapi perlu menjaga tiga lagi anaknya yang menderita penyakit kronik.

Zarina Mohd Ali, 59, yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat kencing manis tujuh tahun lalu berkata, kekurangan kudrat tidak menjadikan alasan buatnya untuk meneruskan kehidupan bersama-sama anaknya.

Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan, dia mengakui perlu cekal untuk terus menjaga anak-anak yang begitu memerlukan sokongan dan bantuannya.

"Selepas arwah suami (Mohd Shamsuri Abdullah) meninggal pada 2017 akibat serangan jantung, satu persatu ujian datang dalam kehidupan saya.

"Pernah suatu ketika, saya putus harapan apabila sebelah kaki kiri dipotong sekitar tahun 2016 akibat kencing manis. Namun, pada 2020, kaki kanan saya pula dipotong menyebabkan saya ke hilang kedua-dua belah kaki," katanya ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap Perdana di sini pada Khamis.

Lebih meruntun jiwa, anak bongsunya, Khairun Nisha Mohd Shamsuri, 22, meninggal dunia pada Khamis lalu akibat penyakit buah pinggang.

Zarina berkata, ujian menimpa keluarganya bermula dengan anak keduanya, Khairun Nabilah Mohd Shamsuri, 29, yang disahkan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang sejak 2011.

Jelasnya, ketika Khairun Nabilah berusia 17 tahun dan sehingga kini perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga hari seminggu.

“Nabilah terpaksa pergi dan balik ke pusat dialisis dengan menggunakan perbelanjaan sendiri. Nabila juga memerlukan hampir RM500 untuk kos tambang berulang-alik disebab dia tidak memandu.

“Dulu saya ada pelindung (suami) dan tiada rasa tekanan seperti ini. Kami berdua (ayahnya) banyak membantu menghantar dan mengambil Nabilah membuat rawatan. Sejak arwah tiada, semua makcik kena hadap seorang," ceritanya dengan nada sedih.

Ujar Zarina, selepas itu, anak sulungnya yang menjadi tulang belakang keluarganya, Mohd Amir Haziq, 30 pula disahkan terkena jangkitan kulit Selulitis.

Menurutnya, penyakit tersebut mengakibatkan Amir tidak boleh bergerak bebas dan hanya terlantar di rumah sejak November tahun lalu.

Zarina berkerusi roda untuk melakukan aktiviti harian di rumahnya.
Zarina berkerusi roda untuk melakukan aktiviti harian di rumahnya.

“Sejak menderita penyakit itu, Amir tidak mampu lagi untuk bekerja dan kini berada di HTAA kerana menerima rawatan.

“Saudara terdekat ada datang melawat, memang mereka cakap saya kuat dengan dugaan ini. Hakikatnya tiada siapa tahu saya menangis sendirian macam mana.

“Saya sering mencari kekuatan jiwa untuk berdepan dengan semua dugaan ini. Adakalanya kita ambil pendekatan jika kita susah, ada lagi orang lebih susah daripada kita,” katanya.

Sementara itu, tambah Zarina, kini dia tidak mampu lagi untuk bekerja seperti sebelum ini untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kehidupan mereka sekeluarga.

Zarina berkata, dia dan anak-anaknya hanya hidup berbekalkan wang simpanan persaraan arwah suaminya sebanyak RM1,200 sebulan.

“Kalau saya sihat macam awak (penulis), ada kaki, boleh gagahkan diri bekerja. Dulu, masa kaki kiri kena potong pun saya boleh buat kuih muruku untuk dijual.

“Tapi saya reda, kalau ini takdir-Nya, saya terima. Sebab dulu saya selalu tonton rancangan realiti tengok ada orang lagi susah daripada saya," katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Zarina dan keluarga, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (Zarina Mohd Ali) bernombor 0610029000557768.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!