Kelibat buaya di Sungai Pahang gemparkan penduduk
TEMERLOH - Penduduk sekitar Sungai Pahang, di sini digemparkan dengan kemunculan buaya di beberapa lokasi berlainan sejak beberapa hari lalu.
Musim panas yang melanda negara dan air sungai semakin surut dipercayai punca kemunculan haiwan terbabit.
Antara lokasi kelibat haiwan itu berjaya dirakam orang ramai di Kampung Tebal, Kampung Bintang dan di pam pasir belakang Masjid Bangau Tanjung.
Azli Fasehan Bahari, 37, dari Kampung Tebal, di sini berjaya merakam kelibat buaya tembaga dekat sangkar ikan patin di kampung tersebut kira-kira jam 1.30 pagi pada Isnin.
"Ketika itu, saya berada di atas bot sedang menahan tanjur sebelum ternampak mata bersinar di belakang sangkar, ingatkan tikus.
"Saya terus mudik bot dan datang suluh, kemudian baru perasan itu sebenarnya buaya selepas nampak sisik.
"Panjang haiwan itu kira-kira empat meter dan lebar kira-kira 40 sentimeter, memang terkejut dibuatnya sebab ini pengalaman kali pertama seumur hidup jumpa buaya depan mata," katanya.
Dakwanya, kali terakhir kelibat haiwan itu ditemui penduduk kira-kira 40 tahun lalu.
"Itu orang-orang tua di sini pernah kata, memang tak pernah jumpa selama ini dan kali terakhir 40 tahun lalu," ujar Azli lagi.
Seorang lagi penduduk kampung itu, Mohd Faisal Mohd Razali, 36, turut terkejut kerana bertembung buaya tembaga berhampiran pam pasir dekat Kampung Bintang di sini pada Khamis.
"Beberapa jam juga buaya itu duduk 'bersantai' di tebing dan saya serta rakan berjaya merakam kelibat haiwan itu.
"Ini pengalaman kali pertama selepas sekian lama mudik di Sungai Pahang," jelasnya buaya yang ditemuinya kira-kira tiga meter.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Temerloh, Mohd Nasir Sulong, 66, meminta penduduk supaya berhati-hati walaupun teruja dengan kemunculan haiwan terbabit.
"Memang kita ketahui selama ini, buaya di Sungai Pahang tidak ganggu orang tapi penduduk tetap perlu berhati-hati jika terjumpa dengan kelibat haiwan ini.
"Kalau saya sendiri, sepanjang turun sungai, memancing memang tidak pernah jumpa buaya setakat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!