Sherpa selamatkan pendaki Malaysia di 'zon maut' Everest

Seorang sherpa berkongsi detik cemas ketika dia menyelamatkan pendaki Malaysia pada altitud tinggi yang jarang berlaku di Gunung Everest. - Foto Reuters.
Seorang sherpa berkongsi detik cemas ketika dia menyelamatkan pendaki Malaysia pada altitud tinggi yang jarang berlaku di Gunung Everest. - Foto Reuters.
A
A
A

KATHMANDU - Seorang sherpa berkongsi detik cemas ketika dia menyelamatkan pendaki Malaysia pada altitud tinggi yang jarang berlaku di Gunung Everest.

Gelje Sherpa, 30, berkata, dia sedang memberi panduan kepada pendaki China untuk menawan puncak setinggi 8,849 meter (m) tersebut ketika insiden pada 18 Mei lalu.

Dia terlihat mangsa berpaut pada tali dan turut menggigil kesejukan di 'zon maut' di mana suhu berada di bawah -30 darjah Celsius.

Jelas Gelje, dia menarik pendaki itu turun sejauh 600m dari kawasan Balcony ke South Col yang mengambil masa kira-kira enam jam yang kemudiannya turut dibantu rakannya, Nima Tahi Sherpa.

Gelje menarik pendaki itu turun sejauh 600m dari kawasan Balcony ke South Col yang mengambil masa kira-kira enam jam. - Foto: Agensi
Gelje menarik pendaki itu turun sejauh 600m dari kawasan Balcony ke South Col yang mengambil masa kira-kira enam jam. - Foto: Agensi

"Kami membalut tubuhnya dengan alas tempat tidur dan menariknya ke bawah serta mengangkatnya di belakang kami secara bergiliri-gilir menuju ke Kem III," ujar Gelje.

Difahamkan, sebuah helikopter membawanya dari ketinggian 7,162m di Kem III ke kem pangkalan.

"Adalah sangat mustahil untuk melakukan operasi menyelamat pada ketinggian tersebut," menurut jurucakap Jabatan Pelancongan, Bigyan Koirala.

Sementara itu, Tashi Lakhpa Sherpa dari Seven Summit Treks yang memberikan bantuan logistik kepada mangsa enggan mendedahkan identitinya atas sebab privasi.

"Pendaki itu sudah pulang menaiki penerbangan ke Malaysia pada minggu lalu," katanya.

Nepal mengeluarkan 478 permit mendaki pada musim kali ini yang bermula pada Mac hingga Mei dan sekurang-kurangnya 12 pendaki maut manakala lima dilaporkan hilang di lereng Everest. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!