Bergaduh kerana ekzos bising
AMPANG - Ketidakpuasan hati kerana menegur bunyi bising ekzos motosikal dipercayai menjadi motif pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Bukit Ampang, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 10 malam berkaitan pergaduhan melibatkan 13 lelaki.
"Hasil siasatan mendapati punca rusuhan adalah tidak puas hati dengan satu kumpulan yang membuat bunyi bising ekzos motosikal. Satu kumpulan suspek lain telah menegur dan berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara mereka.
"Seramai tiga suspek mengalami cedera ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah menahan 13 lelaki berusia 15 hingga 26 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 12.05 tengah hari, Selasa.
"Salah seorang yang ditahan merupakan seorang pelajar sekolah menengah di Ampang, manakala tangkapan lain bekerja sebagai penghantar makanan, pembantu jualan dan penganggur.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif. Semakan lanjut mendapati tiga suspek berusia 20 hingga 26 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah," katanya.
Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!