Sanusi pertahan dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, sedia ke mahkamah

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia bersemuka di mahkamah bagi mempertahankan hujah beliau berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah.

Beliau berkata, pendiriannya tidak berubah dan kenyataan yang dibuat berlandaskan fakta, bukan secara semberono

“Saya sedia jumpa di mahkamah. Saya bersedia hingga ke tahap itu (untuk pertahan hujah saya). Di mana saja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menegaskan perkara tersebut perlu dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng bersama beberapa pemimpin DAP negeri mengiringi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataan kontroversinya itu.

DAP menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai seorang pemimpin berbahaya kerana sering kali mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara, selain mempersoal kedaulatan Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak gentar dengan sebarang tindakan terhadap dirinya berikutan mempunyai asas kukuh atas kenyataan yang dibuat sebelum ini.

“Biarlah polis siasat. Kalau mereka sudah buat laporan polis. Mereka takut sebab mereka tak ada sandaran apa, berbanding saya ada sandaran banyak (berhubung isu tersebut),” ujarnya tanpa mahu mengulas lanjut.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri itu hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Beliau mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!