Belum tiba masa lawan Brazil, Argentina
Namun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu serta ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon, berpendapat belum tiba masanya skuad negara berdepan dua pasukan terbaik dunia dari benua Amerika Selatan itu.
Beliau berkata, pengendali dari Korea Selatan itu turut berpandangan adalah lebih wajar skuad Harimau Malaya ‘mengukur baju di badan sendiri’ terlebih dahulu dalam memilih pasukan untuk aksi persahabatan menjelang saingan Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.
"Brazil (tawar) nak lawan tetapi saya tak nak kerana ini bukan masanya. Saya boleh buat kalau setakat nak tunjukkan (populariti) tetapi bukan masanya dan Pan Gon tak mahu.
"Kita dan Brazil sama-sama Ahli Majlis FIFA tetapi belum masanya lagi, mungkin apabila tiba masa yang tepat (baru kita adakan aksi persahabatan)," kata Hamidin selepas mengadakan pertemuan bersama pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pasukan Indonesia yang akan bertemu juara Piala Dunia 2022 Argentina pada aksi persahabatan yang akan berlangsung di Jakarta pada 19 Jun ini.
Hamidin turut memaklumkan Argentina juga pernah mempelawa FAM untuk aksi persahabatan bersama skuad Harimau Malaya.
"Saya ada hubungan yang baik dengan Argentina juga dan mereka ada menjemput kita tetapi Pan Gon tak mahu. Kalau nak adakan persahabatan, kena pasukan yang realistik," katanya.
Sementara itu, Hamidin berkata,FAM tiada masalah mengenai pertukaran pasukan Yaman kepada Papua New Guinea yang akan bertemu Harimau Malaya bagi aksi antarabangsa Tier 1 pada 20 Jun ini.
Katanya, Papua New Guinea merupakan pasukan yang sesuai untuk menggantikan Yaman melihat kepada kedudukan kedua negara itu dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya dibezakan dengan dua kedudukan dengan Yaman di posisi ke-157 manakala Papua New Guinea (159).
Dalam pada itu, Hamidin berkata, barisan kejurulatihan akan membuat perancangan untuk memastikan skuad negara berentap dengan pasukan berada di ranking lebih tinggi pada Disember atau Januari depan.
Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi aksi antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun, sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua 20 Jun, kedua-duanya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!