Bayar segera pampasan atas ‘pengorbanan’ Kedah - Sanusi
ALOR SETAR - Kedah mohon kerajaan Persekutuan membayar segera sejumlah pampasan atas ‘pengorbanan’ negeri itu mengekalkan kawasan tanah yang luas untuk keterjaminan makanan negara dan sumber air buat negeri jiran.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan beberapa kali namun sehingga kini tiada maklum balas daripada kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, sudah tiba masanya Kedah dihargai dengan memberi bayaran khas kerana perkara tersebut turut diperakui dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) kedua.
“Dalam RFN tersebut, sudah dibuat keputusan untuk bagi. Sekarang sudah pun masuk RFN keempat, masih belum dapat (bayaran). Tidak ada formula, sedangkan formula bukan susah pun, ‘raja formula' kan ada boleh tanya dia.
“Untuk simpan sawah padi kita ada bagi formula, banyak kali sangat dah. Sampai sekarang tak keluar apa. Mereka nak pakai formula apa pun saya tak tau,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Khamis.
Terbaharu, Kedah mengemukakan pampasan RM200 juta berikutan pengorbanan Kedah tidak membangunkan kawasan tanah pertanian dan tadahan, yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dalam sidang Parlimen, Februari lalu.
“Bukan banyak sangat (kita minta) banding dengan perbelanjaan di peringkat Pusat. Jumlahnya ibarat tahi gigi saja. Kita bolehlah simpan, jadi semangatlah sikit orang kita pun.
“Segerakan bayaran dengan formula yang munasabah. Bukan tengok balik permohonan, masa itu sudah berlalu. Apabila ringgit kita jatuh, import kita mahal, apa yang dilakukan ini sebagai ganti kepada import makanan,” jelas Muhammad Sanusi.
Menurutnya, permohonan Kedah itu wajar didengari kerajaan Persekutuan dengan mengetepikan isu politik antara dua negeri.
“Pandanglah wajah kita dengan hati jernih, fikiran yang bersih. Jangan kerja nak cari kesalahan kita dan nak tindas saja. Lupakan politik sementara waktu.
“Apa yang saya cakap ini bukan pasal politik, ini perjuangan Kedah. Bukan politik parti saya, tetapi untuk rakyat Kedah. Ketika saya jadi MB, saya cakap untuk rakyat Kedah. Sila dengar, kalau tidak saya akan ulang lagi,” tegasnya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras negara dan untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, Kedah terpaksa berkorban.
“Tanah bendang kita tidak boleh diubah menjadi tanah industri yang sepatutnya memberikan pulangan lebih banyak. Kita juga terpaksa korbankan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar terutama di Hulu Muda untuk kawasan tadahan bagi membekalkan air kepada Kedah termasuk Pulau Pinang dan Perlis.
“Ini juga satu bentuk pengorbanan kerana atas sebab ini, banyak perkara yang kita nak buat untuk majukan negeri tetapi kita tak boleh buat. Akibatnya Kedah sejak sekian lama berada pada kedudukan kedua negeri termiskin dari segi pendapatan per kapita di Malaysia,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!