Putrajaya, empat negeri terima pengarah bomba baharu mulai esok
IPOH - Lima negeri akan menerima pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) baharu mulai Jumaat berikutan pesaraan dan kenaikan pangkat dalam kalangan pegawai kanannya.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, jawatan itu melibatkan negeri Perak, Kedah, Selangor, Johor dan Putrajaya.
"Kita ada 'reshuffle' (rombakan) dalam jabatan berikutan persaraan dan pertukaran pengarah. Mulai esok, negeri Kedah terima pengarah baharu iaitu kenaikan pangkat, Perak perpindahan Pengarah Kedah.
"Kita akan terima pengarah Selangor, Johor dan Putrajaya baharu. Ini adalah lima pertukaran utama yang kita buat berikutan persaraan dan proses kenaikan pangkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Penghargaan Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, Nor Hisham turut menyaksikan sesi penyerahan nota serah terima tugas dan tongkat kuasa antara Azmi dan Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon yang akan mengambil alih jawatan itu.
Azmi yang bersara wajib pada Khamis selepas 26 tahun menabur bakti dalam JBPM telah diberikan penghormatan Barisan Kehormat JBPM Perak yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin dan 35 anggota lain-lain pangkat.
Beliau membuat imbasan cap jari buat kali terakhir simbolik persaraannya sebelum menaiki kenderaan istiadat yang ditarik 20 pegawai dengan diiringi alunan selawat.
Azmi memulakan perkhidmatan bersama JBPM pada 1 Julai 1977 telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sumbangan beliau dalam memperkasakan program-program bersama komuniti di peringkat kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!