Tiga maut, lima cedera nahas dua kenderaan
TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Tiga maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar 4.30 petang apabila kereta jenis Toyota Altis dari arah Bukit Gambir dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai datang dari arah Kampung Teratai.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kereta Toyota Altis tersebut.
“Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan.
“Kesemua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke rumah mayat Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Tiga mangsa yang meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun.
Selain itu, seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 15 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.
Kesemua penumpang kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dihantar ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan namun tiada sebarang maklumat terkini mengenai keadaan mereka.
Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada 3.42 petang, Khamis.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota dihantar ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan lapan penumpang, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!